Wednesday, May 18, 2011

Awasi Riba Dalam Pembelian Emas

Utusan Malaysia 19 Mei 2011
Oleh NAJAHUDIN LATEH
( Pensyarah di Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi MARA ( Uitm ) Shah Alam.


Logam emas kini bukan sahaja diminati kaum wanita malah kaum lelaki juga semakin memahami ketinggian nilainya. - Gambar hiasan


AKHIR-akhir ini timbul keghairahan di kalangan umat Islam di negara ini untuk membeli dan melabur dalam emas sama ada dalam bentuk siling, jongkong dan sebagainya.
Situasi ini menyebabkan ada di kalangan mereka lupa akan batas-batas syariah berkaitan pembeliannya sehingga membawa kepada amalan riba yang diharamkan Islam.
Allah SWT mengisytiharkan perang ke atas pelaku riba. Ini terkandung dalam penegasan-Nya dalam firman: Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba, jika kamu orang yang beriman. Jika kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya. (al-Baqarah': 278-279)
Secara umum, riba adalah sebarang pertambahan dalam urus niaga sesuatu barangan atau tambahan ke atas hutang disebabkan tempoh pembayaran yang lewat.
Emas selaku komoditi bernilai merupakan salah satu barangan berunsurkan riba (ribawi) yang disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh 'Ubadah bin al-Samit : Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam, perlu sama, timbangan sama dan diserah tangan segera. Jika asnaf-asnaf ini berbeza, juallah seperti mana kamu kehendaki selagi ia serahan segera (tidak bertangguh). (riwayat Muslim)
Hadis ini menyenaraikan barangan ribawi yang terbahagi kepada dua kategori, iaitu matawang seperti emas, perak, ringgit, dollar dan sebagainya serta makanan asasi seperti padi, gandum, barli, tamar dan garam.
Walaupun begitu, syarat ini tidak terpakai dalam urus niaga barangan ribawi yang berlainan kategori dan jenis, seperti membeli padi dengan menggunakan emas atau urus niaga barangan ribawi dengan barangan bukan ribawi seperti boleh membeli kereta dengan menggunakan emas atau matawang lain.
Urus niaga pembelian emas kini melibatkan pertukaran emas dengan matawang lain. Menurut muamalat Islam, pembelian atau pertukaran matawang dengan matawang seperti membeli emas dengan wang ringgit adalah termasuk dalam kontrak al-Sarf (tukaran wang).
Justeru, pembelian emas mestilah mematuhi syarat kontrak tersebut, iaitu mestilah tunai serta-merta tanpa ditangguh atau diberi tempoh. Syarat serahan dan penerimaan barangan emas mestilah berlaku semasa akad pembelian sebelum berpisah.
Oleh itu, kita semua perlu mengawasi perkara ini demi mengelak diri daripada terkena najis riba yang kemudiannya akan terkena bakaran api neraka serta dilaknat Allah SWT. Ingatlah amaran Rasulullah SAW: Allah melaknat orang yang memberi dan menerima riba. (riwayat Muslim)

Perhatian Kepada Peminat, Pembeli dan Pelabur Emas

Umat Islam terutamanya peminat, pembeli dan pelabur emas hendaklah mengawasi urusniaga mereka supaya selari dengan syarat dan terhindar daripada riba. Oleh itu Perkara-perkara berikut perlulah diambil kira:
1. Pembelian emas bermaksud untuk mempunyai pemilikan terhadap emas yg dibelinya. Oleh itu, haram kita membeli emas jika tidak mempunyai kebebasan dan kuasa untuk melakukan urusniaga lain seperti menjualnya semula dalam tempoh-tempoh tertentu.
2. Haram membeli emas secara hutang atau secara tangguh dengan membayarnya secara ansuran walaupun terdapat pandangan minoriti yang memberi pengecualian pada emas yang telah diubah menjadi barangan seperti cincin dan gelang.
3. Menjauhi pembelian emas dengan menggunakan kad kredit kerana terdapat unsur-unsur syubhat lebih-lebih lagi dengan adanya fatwa terbaru Kesatuan Fiqh Sedunia yang mengharamkannya. Begitu juga, haram secara mutlak jika tidak membuat bayaran kad kredit atas pembelian tersebut hingga dikenakan riba oleh pihak pengeluar kad kredit.
4. Tidak melakukan trade-in emas lama yang dimiliki dengan emas baru. Ini boleh membawa kepada riba kerana hukum tukaran emas dengan emas mensyaratkan timbangan kedua-duanya timbangan tersebut adalah sama dan diserahkan serta-merta semasa pertukaran tersebut tanpa sebarang tangguhan masa. Untuk mengelakkan riba ini berlaku, orang yang ingin trade-in hendaklah menjualkan emas lamanya terlebih dahulu. Setelah mendapat wang jualan, barulah ia membeli emas baru tersebut.