Saturday, February 18, 2012

HARGA EMAS MENINGKAT LEBIH TINGGI BERBANDING TEMPAT LAIN

HARIAN METRO SABTU 18.2.12 GLOBAL H17.E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SUKAR KIKIS TABIAT MENYIMPAN EMAS.
               

AKIBAT MENYIMPAN DUIT KERTAS DIRUMAH, JIKA SIMPAN EMAS DAH TENTU TIDAK HANGUS TERBAKAR DENGAN IZIN ALLAH. GAMBAR HIASAN KERATAN AKHBAR METRO 18.2.12

TABIAT zaman berzaman orang Vietnam yang suka menyorokkan emas di rumah daripada menyimpan wang di bank dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh kerajaan negara itu. Semuanya gara-gara harga emas yang terus melambung tinggi.
Berdasarkan Majlis Emas Dunia tahun lalu, Vietnam membeli lebih banyak emas perkapita berbanding India dan China. Harga emas domestik di Vietnam pula meningkat 18 peratus jauh lebih tinggi daripada harga pasaran emas dunia yang menyaksikan kenaikan 11 peratus.
Sememangnya tabiat yang sudah diamalkan turun temurun itu sukar dikikis.
Walaupun harga satu auns (28.4 gram) jongkong emas di Hanoi lebih RM300 berbanding di tempat lain, tetapi penduduk negara komunis itu tetap membelinya, kata pesara berumur 60 tahun, Truong Van Hue.

“Saya masih suka melihat simpanan saya dalam bentuk emas. Ia lebih selamat bagi pesara macam saya. Saya boleh jual emas pada bila-bila masa, di mana-mana apabila memerlukan wang,” katanya.
Walaupun emas dianggap sebagai simpanan selamat, tetapi tindakan penduduk yang ‘menyerbu’ kedai emas membuka mata kerajaan Vietnam apabila mereka berhadapan dengan kadar inflasi sebanyak 18 peratus dan ketidakstabilan mata wang tempatan, dong.

Kerajaan cuba memperlahankan ‘demam emas’ dengan cuba mengawal perniagaan logam berharga itu selepas hampir 20 tahun mereka memberikan kebenaran rasmi kepada penduduk memiliki dan berniaga emas, walaupun perkara itu sudah diamalkan sejak berzaman lalu.

Antara langkah yang cuba dilakukan kerajaan tahun lalu ialah memasukkan dekri atau perintah yang meletakkan perniagaan jongkong emas Saigon Jewelry Company, pembuat dan pedagang emas terkemuka di Vietnam di bawah kawalan bank pusat.

Dekri itu juga mengehadkan perniagaan peniaga emas kecil-kecilan, mengurangkan lonjakan harga dan mencegah pelabur borong daripada merancakkan perniagaan logam berharga itu yang akan terus menjejaskan mata wang dong yang sememangnya sudah goyah.

Buat masa ini, kerajaan juga menimbangkan langkah kedua yang akan memaksa lebih 10,000 kedai emas keluar daripada perniagaan jongkong emas dan hanya memberi fokus kepada penjualan barang kemas saja.

“Mereka mahu kawal emas. Saya tidak boleh kata sama ada ia langkah yang baik atau tidak. Tetapi di sini (Vietnam), kami perlukan kestabilan ekonomi,” kata pengurus di Phu Quy Jewelry Company.

Atas sebab yang praktikal, kebanyakan penduduk Vietnam lebih suka melihat simpanan mereka dalam bentuk emas. Malah kadar faedah sebanyak 14 peratus yang ditawarkan oleh pihak bank kepada penduduk yang menyimpan dong tidak mampu menarik perhatian mereka apatah lagi ia jauh lebih rendah daripada kos sara hidup yang meningkat 18.6 peratus tahun lalu.

Kata pakar ekonomi, kejatuhan harga hartanah dan pasaran saham baru-baru ini menyemarakkan lagi pembelian emas dan bank pusat juga memberi isyarat bahawa nilai mata wang dong mungkin akan terus terjejas lewat tahun ini.

“Orang cuba mengawal kesan kemerosotan ini dengan membeli emas,” kata bekas pakar ekonomi kanan kerajaan, Le Dang Doanh.

Minat terhadap emas sebenarnya memang sudah lama tertanam dalam masyarakat Vietnam malah sejarah peperangan dan perbalahan yang tidak berkesudahan membuatkan logam ini lebih bernilai.

“Empayar boleh jatuh, mata wang boleh berubah tapi emas akan terus bertahan,” kata pakar sosiologi, Vu Duc Vuong.

Kerajaan Vietnam bukan saja mengehadkan perdagangan emas tetapi akan mengadakan kempen besar-besaran untuk menggalakkan penduduknya menyimpan emas di bank dan tidak lagi menyorokkannya di rumah.

Bagaimanapun butir terperinci mengenai rancangan itu belum diuar-uarkan lagi tetapi pihak bank berkata, kerajaan sedang menimbangkan cara untuk menarik minat penyimpan dengan membuat tawaran daripada segi faedah dan keselamatan.

Bulan lalu gabenor bank pusat berkata, kerajaan menganggarkan penduduk Vietnam mempunyai antara 300 hingga 500 tan emas yang disimpan di luar sistem perbankan.

Menyimpan emas milik peribadi ini di bank akan memberi kelebihan kepada pihak berkuasa kerana ia boleh dijadikan alat untuk menstabilkan ekonomi.

“Jika faedah yang diberikan itu lebih tinggi dan pihak bank dapat membuktikan kredibiliti mereka, saya rasa 80 peratus penduduk akan menyimpan emas mereka di bank,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Agribank Jewelry Company, Nguyen Thanh.

Langkah untuk mengekang perdagangan emas ini dimulakan selepas peningkatan dramatik taraf hidup penduduk Vietnam yang mencetuskan perubahan pada ‘sosialisme berasaskan pasaran’. Ini adalah sistem ekonomi Vietnam yang memberikan hak kepada penduduk memiliki perniagaan penghasilan komoditi, barangan dan perkhidmatan.

Pertumbuhan ekonomi selama dua dekad berjaya menaikkan status Vietnam kepada negara berpendapatan sederhana pada awal 2011, berdasarkan ukuran Bank Dunia.
Tetapi perkembangan ekonomi itu diancam oleh isu makro-ekonomi (isu ekonomi yang lebih besar) termasuk kadar inflasi yang sentiasa tinggi dan rasuah.

Penurunan kadar inflasi akan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan sekali gus meredakan ‘demam emas’, kata Daonh. Dia menambah kerajaan perlu membentuk polisi yang seiring dengan kepercayaan rakyat bahawa memiliki emas itu langkah yang ‘lebih selamat’.

“Jika polisi ini bertentangan dengan kehendak rakyat, mereka akan beralih kepada perniagaan tidak formal yang lebih sukar untuk dikawal,” katanya lagi.
Dia menganggarkan sebanyak 20 hingga 60 tan emas diseludup masuk ke Vietnam setiap tahun.

Bagaimanapun penduduk di Jalan Ha Trung di Hanoi, pusat perniagaan emas yang paling sibuk, agak skeptikal dengan langkah kerajaan itu.

“Mereka akan membuat peraturan yang lebih ketat tetapi saya percaya ada jalan untuk perniagaan jongkong emas,” kata peniaga emas, Tran Hoang Long. - AFP

Wednesday, February 1, 2012

Utusan Malaysia Online - Labur emas mengikut syariah

Utusan Malaysia Online - Bicara Aga

Labur emas mengikut syariah




Umat Islam perlu mengembalikan fungsi asas emas sebagai mata wang dan aset simpanan. - Gambar hiasan



EMAS pada sepanjang zaman dianggap sebagai simbol kekayaan, kemasyhuran dan kecantikan. Dalam sejarah ekonomi Islam, emas merupakan mata wang dan aset simpanan yang baik.


Teks al-Quran dan hadis banyak menjelaskan kepentingan emas dalam kehidupan manusia. Emas dirujuk sebagai mata wang dinar dalam firman-Nya: Dan di antara ahli-ahli kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, dia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepada kamu dan ada pula di antara mereka, yang kalau engkau amanahkan menyimpan hanya satu dinar sahaja pun, dia tidak akan mengembalikannya kepada kamu, kecuali kalau kamu selalu menuntutnya. (ali-'Imran: 75)


Selain digambarkan sebagai harta kekayaan dalam surah ali-'Imran: 14 dan 91, al-Nisa': 20, al-Taubah: 34, al-Zukhruf:33-35, al-Quran juga mendedahkan emas akan kekal sebagai barang berharga sehingga hari akhirat seperti dalam surah al-Israk: 93, al-Kahfi: 31, al-Hajj: 23, al-Faathir:33, al-Zukhruf: 53, al-Zukhruf: 71 dan al-Insan: 21.
Selain dijadikan barang kemas, emas juga menyimpan kekayaan yang paling unggul. Ini kerana ia tidak boleh dibinasakan dan tidak hilang nilainya. Malah, nilainya sentiasa meningkat dalam jangka masa panjang.


Ini dibuktikan dengan kenaikan harga emas daripada RM1,740.65/per aun kepada RM5,890.93/per aun, iaitu kenaikan sebanyak 238 peratus harga emas dalam tempoh lima tahun (2006 hingga 2011) atau secara purata kenaikan setahun adalah 48 peratus.


Kebenaran emas sebagai penyimpan nilai yang stabil boleh disaksikan melalui nilainya yang hampir sama sejak zaman Rasulullah SAW hingga sekarang.
Dalam sebuah hadis daripada Syahib bin Garqadah berkata: Saya mendengar penduduk bercerita tentang 'Urwah, bahawa Nabi SAW memberikan wang satu dinar kepadanya agar dibeli seekor kambing untuk beliau, lalu dengan wang satu dinar tersebut ia membeli dua ekor kambing, kemudian ia jual satu ekor dengan harga satu dinar. Ia pulang membawa satu dinar dan satu ekor kambing. Nabi SAW mendoakannya dengan keberkatan dalam jual belinya. Seandainya 'Urwah membeli tanah pun, ia pasti beruntung. (riwayat al-Bukhari)


Hadis ini menjelaskan harga seekor kambing pada zaman Rasulullah SAW lebih kurang satu dinar. Agak menarik, kestabilan harga emas terbukti dengan harga seekor kambing pada zaman kini juga lebih kurang RM750 atau satu dinar (bersamaan nilaian 4.25 gram emas).
Namun, akibat pelbagai hambatan ekonomi dunia fungsi dinar emas kini telah berubah kepada suatu komoditi yang diniagakan.


Perubahan landskap ekonomi dunia juga menimbulkan keghairahan di kalangan umat Islam di negara kita untuk melakukan urus niaga terhadap emas dalam bentuk pelaburan sama ada bentuk fizikal seperti siling, jongkong, barang kemas atau dalam bentuk akaun pelaburan emas.
Situasi ini menyebabkan kadang-kadang menyebabkan masyarakat yang lupa batas-batas syariah berkaitan urus niaga emas, terutama terjebak dengan amalan riba yang haram dan dikutuk dalam Islam, tidak memenuhi syarat kontrak dan sebagainya.


Mengikut muamalat Islam, urusniaga jual beli emas adalah termasuk dalam kontrak al-Sarf, iaitu jual beli mata wang. Maksudnya, kita membeli atau menjual emas dengan menggunakan mata wang seperti ringgit atau dolar.
Secara umum, urus niaga emas hendaklah memenuhi syarat utama kontrak al-Sarf yang digambarkan oleh Rasulullah SAW dalam riwayat oleh 'Ubadah bin al-Samit: Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam, perlu sama, timbangan sama dan diserah tangan segera. Jika berlainan jenis, juallah seperti mana kamu kehendaki selagi ia serahan segera (tidak bertangguh). (riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasai, dan Ahmad).


Hadis ini menjelaskan syarat transaksi emas dengan mata wang iaitu:
n Serahan (qabd) barangan emas dan harga berlaku antara penjual dan pembeli (atau wakilnya) dalam majlis akad sebelum berpisah. Serahan emas oleh penjual boleh berlaku dalam bentuk hakiki (serahan fizikal emas) atau secara hukmi (penguasaan dan kemampuan mengendali/tasarruf ke atas emas oleh pembeli).


Serahan harga oleh pembeli pula boleh berlaku melalui pembayaran tunai, cek, kad debit atau kad kredit. Serahan ini mestilah berlaku dalam satu majlis akad antara penjual dan pembeli (atau wakil) sama ada melalui pertemuan fizikal, khidmat pesanan ringkas (SMS), telefon atau emel.


n Serahan barangan emas dan harga hendaklah berlaku secara on the spot tanpa ada sebarang tempoh penangguhan masa. Justeru, pembelian emas secara bayaran ansuran atau hutang tidak dibenarkan syarak.
Walaupun begitu, kontrak jual beli emas yang melibatkan pembayaran cek atau pemindahan wang yang memerlukan tempoh matang seperti tiga hari bekerja dianggap masih belum berlaku akad tersebut hinggalah penjual mendapat bayarannya.


Apabila mendapat bayaran, kontrak akan berlaku dan penjual hendaklah menyerahkan emas kepada pembeli serta merta.
Suatu perkara yang penting dalam jual beli emas adalah berkaitan lock price (kunci harga), iaitu pembeli meletakkan perjanjian (wa'd) untuk membeli atau menjual pada harga tertentu.


Maksudnya, walaupun harga emas naik atau turun, pembeli dapat membelinya dengan harga yang telah dikunci tersebut.
Berhubung dengan perkara ini, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah memberikan panduan seperti berikut:


Wa'd boleh dimasukkan dalam pelaburan emas, selagi mana ia adalah wa'd dari sebelah pihak dan bukannya muwa'adah dari kedua-dua belah pihak. Contoh aplikasi wa'd dalam konteks ini adalah membuat purchase order, iaitu pelanggan membuat perjanjian untuk membeli emas dengan harga tertentu.


Perjanjian pembelian ini dinamakan 'kunci harga'. Sekiranya proses kunci harga adalah menyamai proses akad jual beli, ia tidak dibenarkan kerana akan berlaku penangguhan.
Selain itu, terdapat beberapa syarat-syarat lain terutama tentang fizikal emas dan harga yang mesti diambil berat oleh pelabur-pelabur emas, antaranya :


Emas hendaklah wujud, dimiliki penuh oleh penjual dan boleh diserahkan kepada pembeli sekurang-kurangnya dalam tempoh uruf (kebiasaan);
Emas hendaklah diketahui sifat fizikal, timbangan berat dan ketulenannya sama ada melihat sendiri fizikalnya atau melalui contoh pesanan.


Nilai harga emas hendaklah diketahui dan dipersetujui oleh penjual dan pembeli.
Kontrak jual beli hendaklah dilakukan atas dasar persetujuan dan keredaan, tanpa wujudnya sebarang paksaan, tipu helah atau sebarang penyembunyian keaiban.


Akhirnya, perlu diingatkan bahawa umat Islam perlu mengembalikan fungsi asas emas sebagai mata wang dan aset simpanan.
Jika terlibat dalam pelaburan emas yang menjanjikan bahagian sementara. Seharusnya kita tidak terjebak dengan amalan yang dilarang syarak seperti riba, perjudian, spekulasi, penipuan dan sebagainya.


sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm